Gareth Bale gembira di Madrid

By June 5, 2017



5/5 - (1 vote)

Gareth-Bale-Real-Madrid

Pemain penyerang Real Madrid, Gareth Bale menegaskan bahawa dia gembira berada di Santiago Bernabeu dan berharap untuk meneruskan perjuangan bersama kelab itu untuk tahun-tahun akan datang.

Pemain antarabangsa Wales itu telah menjulang piala Liga Juara-Juara yang ketiganya dengan Los Blancos Sabtu lalu, ketika merangkul kemenangan 4-1 ke atas Juventus di Cardiff.

Bale baru sahaja kembali dari kecederaan, jadi dia terpaksa menerima tempat sebagai penampilan cameo dari bangku simpanan pada minit ke-77 di tanah airnya.

Bekas pemain Tottenham itu telah berkembang menjadi salah satu daripada pemain terbaik Eropah sepanjang masanya berada di Sepanyol dan laporan mengaitkannya dengan perpindahan kembali ke England.

Bagaimanapun, Bale yang baru menandatangani kontrak baharu sehingga 2022 bulan Oktober lalu, menegaskan dia gembira di Madrid dan bersemangat untuk memenangi lebih banyak piala.

Dia memberitahu pemberita: “Kami memenangi piala dan saya sangat gembira. Saya telah menandatangani kontrak jangka panjang bersama Madrid.

“Keluarga saya gembira dan begitu juga saya, justeru kami akan meneruskan apa yang kami lakukan sekarang.

“Inilah sebab mengapa saya datang ke Real Madrid – untuk memenangi piala. Kami sedang menikmati kejayaan ini, jadi kami akan terus berbuat demikian.

“Tiga kejuaraan Liga Juara-Juara dalam tempoh empat musim adalah catatan yang memuaskan.”

Pemain berusia 27 tahun itu yakin masih banyak kejayaan lagi yang dapat dicapai bersama Real dalam tempoh beberapa tahun akan datang kerana mereka berterusan membangunkan skuad muda.

Bale menambah: “Saya rasa kami mampu menjadi lebih baik. Kami masih agak muda secara keseluruhan, dan kami mempunyai skuad yang hebat.”