Misbun kembali, dan bersedia untuk cabaran seterusnya

By July 3, 2017



Rate this post

Datuk-Misbun-Sidek-Badminton

Ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek menanti cabaran untuk mengubah para pemain perseorangan lelaki untuk menjadi yang terbaik.

Misbun telah pun melapor diri untuk kembali bertugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, selepas meninggalkan BAM 6 tahun lalu.

Beliau juga membuat pertemuan berasingan dengan jurulatih perseorangan, Hendrawan dan Indra Widjaya serta presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria.

Misbun berkata bahawa dia akan memerlukan masa seminggu untuk menilai para pemain kebangsaan sebelum membuat sebarang perubahan.

“Saya gembira dapat kembali. Saya berada di sini untuk melakukan seperti yang Chong Wei minta saya lakukan iaitu, membantu meningkatkan taraf pemain perseorangan lelaki,” kata Misbun yang mempunyai hubungan seperti ayah dan anak dengan Chong Wei.

“Saya juga akan membantu Chong Wei dengan persiapannya untuk Kejohanan Dunia nanti (di Glasgow, Scotland dari 19 hingga 30 Ogos).

“Memang ada satu beban tekanan, tetapi saya mengambil ini sebagai satu cabaran kerana dari dulu lagi saya memang suka dicabar.

“Saya lihat banyak bakat di sini, Sesetengah pemain mungkin cergas tetapi mereka mungkin tidak berfikir seperti seorang pemain, sesetengah pula mungkin mahir tetapi malas. Biar saya menilai mereka.

“Saya mahu mereka mencontohi sikap Chong Wei ketika di gelanggang. Mereka mesti mempunyai minat dan semangat untuk sukan ini dan bekerja keras.

Kata Chong Wei: “Saya gembira kerana bekas jurulatih saya sudah kembali, kami akan bekerjasama untuk meningkatkan profil perseorangan lelaki Malaysia.”

“Saya harap kita akan bangkit lagi,” tambahnya.

Norza memuji komitmen Misbun dan berkata: “Anak lelakinya, Ramdan berada di hospital kerana menghidap denggi, anak perempuan dan isterinya turut terkena denggi tetapi mereka sudah keluar dari hospital. Di sebalik semua itu, Misbun telah melapor diri untuk kembali bertugas.

“Dia sangat dihormati dan saya yakin bahawa, perseorangan lelaki Malaysia akan bangkit semula di bawah kendalian beliau.”