Luke Rockhold mahukan pertarungan
September 12, 2017Bekas juara kelas middleweight UFC, Luke Rockhold mengakui beliau bersedia untuk menjadi pengganti sekiranya pertarungan antara Georges St-Pierre dan Michael Bisping gagal ditetapkan.
Rockhold juga sedang bersedia untuk pertarungan kelas middleweight melawan David Branch pada Sabtu ini – pertarungan profesional pertamanya sejak tewas kepada juara dunia terkini, Bisping pada bulan Jun 2016.
Pejuang MMA berusia 32 tahun itu mengakui beliau terdesak untuk kembali beraksi kerana matlamat utamanya adalah untuk mendapatkan semula gelaran middleweight beliau. “Saya bosan menunggu,” kata Rockhold kepada MMAjunkie Radio.
“Saya bosan bercakap mengenainya, saya akan datang dengan kekuatan.”
Rockfold, yang pada asalnya dinobatkan juara kelas middleweight UFC selepas mengalahkan Chris Weidman pada bulan Disember 2015, pastinya memberi perhatian kepada pertarungan merebut gelaran yang akan datang antara Bisping dan St-Pierre yang bakal menjadi acara utama UFC 217 di Madison Square Garden pada 4 November.
Pejuang MMA kelahiran Amerika itu tidak puas hati St-Pierre, yang tidak pernah bertarung di kategori middleweight, mendapat peluang bertarung untuk merebut gelaran dunia, sementara beliau juga mengesahkan akan berasa gembira untuk menggantikan pejuang kelahiran Kanada itu sekiranya beliau menarik diri.
“Saya fikir memilih Georges St-Pierre adalah satu jenaka,” tambah Rockhold.
“Saya masih tidak percaya Georges berjaya mara ke pertarungan itu, jadi kita lihat apa yang akan berlaku.”
Untuk mendapat peluang bertarung merebut gelaran dunia pada masa akan datang, Rockhold harus terlebih dahulu menewaskan pesaing Amerika, Branch di UFC Fight Night 116 hujung minggu ini.
Branch pasti akan menjadi lawan yang sukar diatasi bagi Rockhold kerana beliau adalah bekas juara WSOF middleweight dan light heavyweight dan beliau belum pernah tewas dalam pertarungan profesional sejak Mei 2012, dengan 11 kemenangan berturut-turut.